Wednesday, 12 December 2012

hujan oh hujan..


Oh hujan, engkaulah sebaik-baik rahmat daripada yang Maha Esa, tapi kenapa selalu manusia tidak bersyukur dengan kehadiranmu??? Mereka selalu mengeluh merasakan kehadiranmu membawa musibah bagi mereka, walhal kamu turun adalah untuk memberi kehidupan kepada mereka. 

Oh hujan, tanpamu rasanya pokok-pokok tidak akan tumbuh dengan suburnya, tanpamu rasanya hidupan tidak akan hidup seadanya, tapi kenapa manusia tidak nampak semua itu. Ayat yang patut keluar dari mulut mereka adalah kesyukuran terhadap yang Maha Esa kerana mengarahkan kamu turun ke dunia.
Tapi yang selalunya keluar dari mulut manusia adalah keluh kesah "susah mau berniagalah macamni"..."tak dapatlah main bola petang ni"..."aduh hujan pula"... inilah ayat-ayat yang biasa kedengaran bila hujan turun sehingga tidak nampak akan rahmat yang dianugerahkan kepada kita manusia. 
Seharusnya kita semua menadah tangan bersyukur kepadaNya kerana menganugerahkan rahmat ini kepada kita, kalaulah Allah S.W.T menarik balik rahmat ini rasanya mati kita semua kan???

Saturday, 8 December 2012


Yang Terakhir...


Usah gusar... usah khuatir... inilah penceritaan terakhir saya mengenai proses penulisan saya dalam menghasilkan sebuah karya penulisan yang bercirikan eksperimental. Cerpen itu hingga ke hari ini masih lagi di dalam proses untuk disiapkan. Sentuhan terakhir akan saya berikan kepada karya saya untuk memastikan ianya seakan- akan ‘bernyawa’.  Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang setia menjadi pengunjung blog saya. Tiada kata yang dapat saya gunakan untuk menggambarkan kegembiraan saya sepanjang menulis blog ini. Semuanya kerana sokongan dan dorongan yang tidak putus- putus daripada kalian.


Harapan saya ialah, semoga setiap coretan dan luahan yang saya lakarkan di dalam blog ini menepati kehendak kursus SKMM 2083 (Penulisan Kreatif). Jasa baik dan tunjuk ajar daripada Dr. Mawar tidak akan pernah saya lupakan. 




Friday, 7 December 2012

obor, lilin dan matahari

Seorang pendidik.. Macam-macam perumpamaan yang dirujuk kepada seorang pendidik. Ada yang kata guru macam lilin, macam obor dan ada juga yang kata guru itu macam matahari. Apa pun perumpamaannya, semuanya membawa kepada maksud yang sama iaitu menerangi. Mereka menerangi seluruh alam dengan ilmu dan hikmah yang mereka tebarkan. Samada si penerima suka atau tak suka, guru tetap dengan tugasnya. Tak pernah sekali berundur mahupun kecewa di tengah jalan. Namun begitu, saya terkesan dengan kuliah kelmarin. Lantas saya memikirkan rasionalnya mengapa seorang guru diumpamakan seperti matahari. Dalam konteks pencahayaan, matahari dilihat lebih berkuasa. Pencahayaannya lebih luas berbanding lilin mahupun obor. Tanpa jemu, tanpa lemah, akur dengan perintah.. terus menerus menerangi alam sehinggalah hari kiamat.  Berbanding dengan lilin dan obor yang akan padam bila habis bahan bakarnya.
Maksud di sebaliknya yang dapat saya temui, pendidik memang patut menjadi seperti matahari. Agar ilmu yang diajarkan itu meliputi seluruh kelas sama seperti matahari yang menyinari seluruh alam. Jika hanya seperti lilin dan obor yang menerangi dengan cahaya yang terhad, seolah-olahnya mereka mendidik tetapi ilmu tersebut tidak sampai ke seluruh pelajar di dalam kelas.
aku selalu bermimpi
matahari telah melahirkan para guru
dan guru telah melahirkan banyak matahari
hingga matahari tak lagi sendiri

matahari tak pernah sendiri
ia selalu ada bersamamu
hangat cinta yang tumbuh
dan menyinari cakrawala kecilku
selalu


cantik itu indah

Lumrah manusia memang di jadikan untuk menyukai dan menginginkan sesuatu yang cantik. Tidak kiralah dalam apa bentuk nikmat sekalipun, pasti mereka inginkan yang cantik-cantik dan indah-indah. Melihat sahaja sesuatu yang cantik, dengan spontan pasti terpegun dengan ciptaan Illahi. Masya Allah, sedang tangan saya bertinta menaip setiap butir-butir bicara dari hati, tetapi otak saya, akal saya sentiasa fikirkan perkara-perkara indah yang diciptakan Tuhan.. Allah, aku tersenyum sendirian. Indahnya ciptaanMu Tuhan.. 
Sedang saya tersenyum sendirian itu, otak saya ligat  teringat akan gambar yang telah saya lihat  tadi, Masya Allah, Subhanallah, cantiknya.. Tidak terungkap dengan kata-kata. Indahnya Ciptaan Allah, Hati yang gusar boleh jadi tenang. Apabila kita lihat pada keindahan Alam, maka kita akan ingat pada ALLAH S.W.T kan? Sekaligus bibir ini automatik akan segera memujiNya. Alhamdulillah.. Sebenarnya saya baharu melihat gambar-gambar Masjid Putrajaya dan kawasan sekitarnya sebentar tadi. Sangat indah panorama di sana. Lebih-lebih lagi pemandangan pada waktu malam. Melihat masjidnya yang indah, tasik yang tenang, senibina bangunan sekitarnya yang berseni, kawasan yang bersih disirami lampu-lampu malam yang cantik memancar ke kawasan tasik, Subhanallah.. sangat cantik! Tidak hairanlah Dr Mawar mahu membuat lawatan ke sana untuk kami mendapatkan idea bagi memulakan penulisan cerpen kami. 


Semoga usaha itu berhasil membantu kami merungkai kesulitan ini.. Semoga saya juga turut beroleh ilham yang boleh saya manfaatkan bagi memperbaiki mutu cerpen saya nanti.. :)

MURABBI SEJATI..


Dalam kesamaran aku dapat melihat dia muncul di hujung meja di bilikku. Wajahnya yang bersih, sesuci hatinya yang ku kenali dulu. Matanya yang bersinar, memancarkan sinar yang mampu membuatkan hati sesiapapun yang melihatnya akan menjadi tenang setenang air di kali. Ya, dialah yang aku maksudkan. Seulas bibirnya yang sering mengucapkan lafaz-lafaz kalimah Allah suatu ketika dahulu tampak lembut dan kemerah-merahan pada pandanganku. Oh, mungkinkah fizikal di hadapanku ini sedang berbahagia di alamnya? Jika memang benar dia telah memperoleh kebahagiaan, syukurlah.  Dialah yang telah mengubah paksi hidupku sebanyak 360 darjah! 'DIA' YANG KU KAGUMI BERSIFAT MURABBI SEJATI..

Thursday, 6 December 2012

SETIAP KALI..


Setiap kali mendapat nikmat
Jarang kusedari itu pemberian-Mu
Terkadang rasa itu kerana
Segala usaha dan penat lelahku sahaja

Setiap kali ditimpa musibah
Ku mengeluh risau bertambah gelisah
Hingga terlupa pada-Mu Allah
Tempat kembali segala masalah

Oh tuhan yang maha penyayang
leraikanlah aku dari keluh kesah
yang membelenggu jiwa dan fikiran
ditambah dengan hasutan syaitan durjana 
yang sentiasa mengarahku
kepada kemurkaanmu
kurniakanlah kepadaku ketabahan
tunjukkan ku hikmah segala ketentuan
Moga sinar-Mu berikanku pedoman
Hanya pada-Mu segala ketetapan
Ya Allah kau redhailah diri ini

Panas yang tidak berpanjangan...



Aku sudah hampir tiba ke noktah yang terakhir dalam penghasilan cerpenku. Segala puji dan puja aku panjatkan kepada Ar- Rahman kerana memberikan aku ilham yang tidak putus- putus. Aku mengambil inisiatif untuk membaca semula hasil penulisanku. Belum sempat aku hendak bersorak di atas kejayaanku kerana berjaya menyiapkan cerpen eksperimentalku ini, aku berjaya mengenal pasti bahawa terdapat kejanggalan ayat di dalam pengolahanku. Kejanggalan yang bisa merosakkan mesej yang cuba aku sampaikan kepada para penggemar karya penulisan. Kegembiraanku serta- merta dipagut pilu. Ilahi Ya Rabbi... beratnya ujian yang Kau berikan padaku. Dengan perlahan, dengan linangan air mata yang cuba kutahan, berdikit- dikit aku memadam hasil penulisanku. Aku percaya ada hikmah disebalik semua yang terjadi kepadaku. Aku serahkan segala urusanku kepada Dia Yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Aku percaya hasil karya aku selepas ini akan lebih baik berbanding hari ini... Berikanlah aku kekuatan untuk bermula semula Ya Allah...


Wednesday, 5 December 2012

Kebelakangan ini, aku sukar memahami diri. Aku sukar mencari diri. Aku tenggelam dalam identiti hakiki. Rasa itu hadir melambai membelai  hati supaya mengharap sesuatu yang tidak ketahuan. Keliru. Kosong. Aku tanpa Dia rasa gelap sekali. Diri ini rasa di awangan. Terbang lolos tanpa ikatan Dia. Jadi aku menulis untuk mengurai maksud di jiwa. Penulisan itu lebih daripada jari dan pena sahaja. Penulisan itu bisa mencari semula yang lenyap. Penulisan itu pada hakikatnya banyak sekali membantu aku mengenali hati sendiri. Kerana, apa yang ditulis itulah menggambarkan apa yang ada di jiwa. Kini, diri ini bangkit. Tak menyesal aku menimba ilmu penulisan ini. Dengan menulis aku bisa membina kekuatan diri. Dengannya, aku bisa mengembalikan kejituan paradigma insani. Aku bisa tersenyum mengukir mimpi-mimpi yang indah sekali melalui penulisan. Mengurai segala kekosongan.  Mencanai semangat untuk hidup dengan gembira. Memproksikan penulisan sebagai medium topup pahala adalah sesuatu yang boleh membantu aku di sana. Aku mati bila-bila, tetapi penulisan itu akan terus hidup :)

 PECUTAN TERAKHIR MENYIAPKAN CERPEN EKSPERIMENTAL.. AKAN KU GARAP SEBANYAK MUNGKIN ILHAM YANG TELAH TERCETUS DARI ILUSI MINDAKU. TUHAN,, JADIKAN SETIAP JARI-JARI KECILKU YANG MENEKAN PUNAT-PUNAT KECIL DI PAPAN KEKUNCI KOMPUTER RIBAKU INI SEBAGAI SUATU IBADAH..

Tuesday, 4 December 2012


Untuk menjadi seorang penulis, ia  bukanlah kerja yang mudah. Untuk menjadi seorang penulis, ia memang cukup-cukup sukar.
Penulis yang baik, tidak lahir sekadar dari kursus-kursus dan bengkel-bengkel penulisan.
Penulis yang baik, tidak menjelma dari sekadar keindahan lakaran-lakaran sastera yang puitis.
                                  Penulis yang baik, bukan penulis yang hanya mampu menulis.
Bahkan lebih dari itu, penulis yang baik sebenarnya adalah penulis yang mampu merawat hati-hati manusia.Tulisannya, adalah ubat kepada hati yang membaca.
Dari mata, ia turun ke hati. Meresap jauh ke dalam sanubari, mengocak tasik keinsafan seterusnya mencetus keinginan dan tekad untuk melakukan perubahan dan penghijrahan. Dari gelap kepada terang. Dari maksiat kepada ibadat. Itulah penulis yang paling baik.
MAMPUKAH AKU MENJADI SEPERTI ITU DALAM PELAYARANKU MENULIS SEBUAH CERPEN EKSPERIMENTAL?

usaha+usaha=kejayaan


Usaha itu kunci kejayaan. Malas pula kunci kegagalan.
Allah menyuruh kita sebagai hambaNya di dunia ini untuk berusaha untuk mendapatkan sesuatu, barulah Dia akan memperkenankan apa yang kita mahu. Oleh itu, saya harus memilih kunci usaha agar kejayaan menulis cerpen eksperimental itu nanti akan menjadi milik saya.. :)

berharganya sebuah masa..

Bergerak. Hidup ini terus bergerak. Tidak pernah ada berhentinya, walau barang sesaat, walau barang sedetik. Kenyataannya yang berhenti adalah diri kita sebenarnya. Diri kita yang sentiasa melengah-lengahkan waktu dan tidak pandai menguruskan masa 24jam yang telah diberi olehNya. Ya, saya harus terus bergerak juga. Harus memulakan langkah penulisan cerpen saya. Masa kian suntuk, tidak sampai sebulan lagi. Saya yang seharusnya mencari ilham, bukan hanya menunggu ilham datang kepada saya. Berbekalkan draf cerpen yang telah saya buat, saya akan memulakan penulisan saya.  Saya harus memulakan langkah pertama saya, meneroka ke dunia penulisan.. 




Masa itu  tidak akan menunggu kita. Kita yang perlu berlari untuk menyainginya. Masa tidak pernah jemu bergerak walaupun ntuk sedetik cuma. Hanya terserah pada kita bagaimana mahu mengurus masa. Sama ada mahu bergerak mengikut masa dengan acuan yang betul atau hanya memerhati dan membiarkan masa berlalu tanpa dimanfaatkan. 

MENGHARGAI MASA ADALAH SATU TUNTUTAN AGAMA.. 


oh idea, datanglah dikau..

Hampir seharian saya memikirkan plot-plot untuk tujuan penulisan cerpen saya tetapi buah fikiran yang bernas masih jua belum kunjung tiba.Tidak sangka, menulis ini susah juga ya.. Jika menulis cerpen sudah terasa begini sukarnya, bagaimana pula agaknya jika saya ingin menulis novel nanti? Ternyata membaca itu lebih mudah rupanya daripada menulis. Terasa betapa ceteknya pengetahuan saya saat ini. Alangkah hebatnya penulis-penulis terkenal yang bisa menghasilkan pelbagai karya itu kan.. :)

Monday, 3 December 2012


Alhamdulillah.. di pagi yang indah ini Allah masih memberi kesempatan untuk saya bernafas lagi di muka buminya. Mendengar kicauan beburung di luar bilik, melihat titis-titis embun yang kian menipis, tambah mendamaikan hati saya. Terdetik di hati kecil saya, alangkah inndahnya alam ciptaan tuhan ini, subhanallah.. Dan pagi ini, sebaik sahaja saya membuka kelopak mata, saya berasa lega..bagaikan satu beban berat telah terlepas. Mengapa begitu? Kerana saya telah menemui tokoh itu! Ya..saya telah menemuinya. 'DIA' yang banyak memberikan inspirasi dan ilham pada saya. 'DIA' lah tokoh yang sangat mengesankan saya untuk menulis tentangnya. Saya yakin, dialah tokoh yang saya cari untuk cerpen kursus Penulisan Kreatif  di bawah kendalian dr. Mawar Shafei. Alhamdulillah.. pencarian saya sudah pun berakhir kini, kini masa untuk memikirkan plot cerpen pula ya.. :)

PERMUDAHKANLAH URUSANKU..



Sesungguhnya aku berasa terganggu Ya Allah dengan kekusutan ini. Aku berada dalam dilema, sukar untuk membuat pilihan untuk menentukan tokoh yang sesuai untuk penulisan cerpen eksperimentalku nanti. Aku benar-benar terkapai-kapai, lemas dalam lautan kekeliruan. 
Moga- moga Allah permudahkan segala urusan aku hari ini , esok , lusa & akan datang, 
Amin . . . . 

PENCARIAN..

Saban hari ku mencarimu..Bahkan semalaman aku mengenangmu..Memikirkan maksud di sebalik mimpi-mimpi yang datang bertandang itu. ah..sesungguhnya ia membuatkanku berasa marah,resah,gelisah,semuanya menjadi satu menjadi ramuan keliru yang maha hebat dalam diri ini.Siapa susuk tubuh lelaki dalam mimpiku itu? Mengapa dia berselindung di sebalik kain putih itu? Mengapa hadirnya seperti ingin mengajakku pergi bersamanya? Apa yang cuba ditunjukkan olehnya padaku? Kecelaruan ini bercampur gaul dengan persoalan yang sentiasa bermain di fikiranku, siapakah tokoh yang boleh aku ambil sebagai watak cerpenku nanti? Siapakah ''DIA''?? Tetapi naluri ku kuat mengatakan bahawa susuk tubuh di balik kain putih itulah tokoh bagi cerpenku nanti...


Sunday, 2 December 2012

ALAMAT MIMPI


Astagfirullah.. jam menunjukkan angka 2.00pagi. Saya terjaga dari lena kerana diganggu bayangan mimpi, bayangan yang saya sendiri tidak dapat mentafsir maksudnya. Orang kata mimpi itu hanyalah mainan tidur tetapi jika saya telah bermimpikan perkara yang sama sebanyak tiga kali, wajarkah ia dianggap sebagai mimpi lagi? Pasti tidak bukan.. Dalam mimpi itu, saya bertemu dengan satu bayangan tubuh manusia. Namun bayangan itu di sebalik kain putih. Mngapa kain putih? Siapakah di sebalik kain itu? Dari susuk tubuhnya, jelas kelihatan fizikal lelaki disitu.
Saya gelisah apabila memikirkan persoalan-persoalan ini. Apa maksud di sebalik mimpi ini? Petanda apakah yang cuba disampaikan kepada saya? Mungkinkah ini bayangan tokoh yang saya cari untuk dijadikan watak dalam cerpen eksperimental saya nanti? Mungkinkah tokoh saya nanti seorang lelaki? Soalan-soalan ini kian menyesakkan benak saya.


Di tepian persimpangan ini, sejenak saya terhenti. Terhenti lagi dari pencarian. Terbayang semula pengembaraan ini yang kian menghampiri waktu-waktu terakhirnya.. Oh Tuhan! KELIRU.. Hanya itulah yang boleh saya perkatakan saat ini. 'DIA' yang saya cari belum jua berjaya ditemui sedangkan waktu kian singkat. Saban hari saya mencari tokoh ini. Rasa resah, gelisah, tertanya-tanya,  semuanya teradun menjadi satu ramuan keliru yang kian mengusutkan kepala, sehingga terbawa-bawa ke dalam lena saya. Membuatkan lena saya sering terjaga di lewat larut malam.

Ya Allah, bantulah hambaMu ini ya Allah.. Berilah aku ilham petunjuk yang sempurna dalam pencarianku ini Ya Allah.. Sesungguhnya Kaulah yang maha mengetahui akan segala sesuatu..