Sesi kuliah Penulisan Kreatif hari ini tetap berjalan seperti biasa. Sama seperti minggu-minggu yang sudah, hari ini juga turut terdapat selingan tayangan gambar selama beberapa minit di kelas. Jika pada kuliah sebelum ini Dr mawar ada memaparkan sebabak cerita dari filem Sepi, hari ini beliau membawa pula satu kisah dari filem Inggeris yang bertajuk Martian Child. Tujuan beliau masih sama seperti sebelum ini, mahu memberi kami ilham dan inspirasi dalam pencarian 'tokoh' bagi tugasan cerpen bercorak eksperimental.
Cerita ini memaparkan kisah tentang David Gordon, seorang penulis fiction-science yang telah kematian isterinya. Watak David ini mencuba untuk menjalani kehidupan sehariannya dengan turut mengambil anak angkat yang bernama Dennis. Namun begitu Dennis ini merupakan seorang kanak-kanak yang bersifat aneh kerana dia menganggap dirinya adalah makhluk dari planet marikh. Dennis beranggapan begitu kerana dia merupakan kanak-kanak yang mengalami tekanan kejiwaan yang melampau akibat dari konflik yang melanda keluarganya. Pemikiran yang dimiliki oleh watak kanak-kanak ini sangat terlampau sehingga dia akan bersembunyi di dalam sebuah kotak yang besar apabila keluar, akan sentiasa memakai cermin mata hitam untuk mengelakkan sinaran matahari, tidak akan mencabut tali pinggangnya kerana takut terapung di atmosfera dan terus-terusan mengasingkan diri. Namun begitu Dennis memberi banyak ilham kepada David. David pula berusaha untuk memahami pemikiran Dennis dan mencuba menjadi ayah yang penyabar dalam menukarkan pemikiran Dennis untuk menjadi makhluk bumi. Di akhir cerita ini, hubungan keduanya mejadi semakin erat dan mereka sangat menyayangi antara satu sama lain.

Setelah menonton sebabak dari sedutan filem ini, ia seperti memberi suatu tarikan yang kuat dalam diri saya. Menarik bukan jika kita benar-benar bertemu dengan manusia seperti Dennis di dunia realiti ini? Mungkinkah 'DIA' yang saya cari sebagai tokoh cerpen saya nanti adalah watak kanak-kanak dalam filem ini? Semuanya masih berlegar-legar di dalam fikiran saya.